Skip to main content

8 Sebab Mengapa Orang Ramai Takut Untuk Membeli-belah Pakaian Atas Talian

 

Dewasa ini, masih ramai yang memilih untuk melakukan pembelian secara langsung di kompleks membeli-belah walaupun terdapat banyak platform e-Bazar sebagai alternatif. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan orang ramai ragu-ragu dan takut untuk membeli-belah terutamanya pakaian secara atas talian: –

 

 

Ukuran Saiz

 

Ia merupakan antara faktor utama mengapa orang ramai takut untuk melakukan pembelian atas talian. Seringkali berlaku kes di mana pakaian yang diterima tidak muat di mana maklumat saiz pakaian yang dipaparkan di laman jualan adalah tidak tepat atau saiz tubuh pelanggan itu sendiri telah berubah berbanding kali terakhir pelanggan tersebut melakukan pembelian pakaian. Pelanggan juga berasa keliru kerana terdapat kedai menggunakan ukuran yang berbeza mengikut negara kerana tidak terdapat piawaian.

Bayangkan jika pelanggan membeli baju raya secara atas talian untuk sekeluarga dan pakaian yang sampai terlalu sempit atau longgar. Pengalaman sebegini adalah mimpi ngeri bagi mana-mana pelanggan dan kemungkinan besar, mereka tidak akan melakukan pembelian pakaian secara atas talian buat selama-lamanya atas sebab fobia.

 

 

Proses Pemulangan Semula Yang Leceh

 

Kelebihan utama membeli-belah di kedai adalah pengguna dapat mencuba sendiri pakaian tersebut dan membuat keputusan serta-merta sama ada untuk membuat pembelian terus atau mencuba ukuran saiz, warna atau corak yang lain. 

Ini berbeza dengan proses pemulangan untuk pembelian atas talian yang rumit di mana pelanggan perlu membungkus semula pakaian, pergi ke pejabat pos, membayar kos penghantaran pos, menantikan pakaian yang digantikan tiba dan sebagainya menjadikan pelanggan berfikir dua kali sebelum membuat pembelian secara atas talian.

Bayangkan jika pelanggan terpaksa melakukan pemulangan semula bagi baju raya online yang dibeli dari luar negara. Kemungkinan besar, baju raya online yang digantikan hanya akan tiba selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu haru biru jadinya!

 

 

Gambar Lain, Barang Sampai Lain

 

Gambar yang diambil secara professional di studio biasanya memaparkan sudut terbaik bagi pakaian tersebut kerana telah dimanipulasikan menggunakan perisian sama ada secara automatik mahupun manual. Namun begitu, masalah utama yang berlaku adalah ia menyukarkan pelanggan untuk mengenalpasti warna, corak, jenis jahitan, fabrik, kesepadanan dan lain-lain.

Kadangkala, berlaku kes di mana warna pakaian yang sampai tidak sama seperti di dalam gambar. Sebenarnya, ini bukan berpunca daripada kesilapan pihak penjual mahupun pelanggan tetapi disebabkan oleh peranti yang digunakan oleh penjual atau pelanggan yang gagal memaparkan warna sebenar disebabkan oleh kekangan peranti tersebut.

Malah, terdapat penjual yang menjual pakaian klon di mana mereka mengambil gambar asli untuk dipaparkan di laman jualan mereka kerana pakaian tersebut mendapat sambutan yang tinggi. Pelanggan hanya dapat melihat gambaran sebenar selepas membuat pembelian atau melihat penilaian daripada pelanggan lain yang telah membuat pembelian.

Bayangkan jika penjual enggan menerima pemulangan semula atas alasan bahawa bukan kesilapan penjual jika peranti pelanggan memaparkan warna yang berbeza dengan warna sebenar pakaian. Atau jika pelanggan tersebut menanti-nantikan pelanggan lain untuk membeli terlebih dahulu dan meninggalkan komen, penilaian atau gambar sebelum membuat keputusan untuk membuat pembelian. 

 

 

Kos Penghantaran Yang Tinggi

 

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos memainkan peranan yang penting dalam penentuan sama ada pelanggan akan membuat pembelian ataupun tidak. Kos penghantaran adalah salah satu punca utama orang ramai takut untuk membeli-belah secara atas talian walaupun terdapat jualan online Hari Raya.

Bayangkan jika kos penghantaran untuk sehelai pakaian adalah RM5 dan pelanggan membeli-belah daripada 10 butik online Malaysia atau platform e-bazar yang berbeza. Ini bermakna pelanggan perlu membayar RM50 untuk penghantaran bagi kesemua pakaian tersebut. Kos yang perlu ditanggung oleh pelanggan ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan kos untuk pergi sendiri ke kompleks membeli-belah bagi melakukan pembelian.

 

 

Tempoh Penghantaran Yang Lama

 

Tiada siapa yang suka untuk menunggu terutamanya selepas membuat pembayaran. Ia menimbulkan kegusaran kepada pelanggan bilakah pembelian mereka akan tiba atau sama ada ia akan tiba sama sekali ataupun tidak. Dalam keadaan semasa iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, penghantaran menjadi semakin sukar dan mengambil masa yang panjang.

Bayangkan jika pelanggan membeli baju raya online dan tarikh jangkaan penghantara adalah beberapa minggu dari sekarang. Pelanggan akan berasa panik kerana tidak pasti sama ada pakaian tersebut akan tiba tepat pada masanya untuk bergambar di pagi raya.

 

 

Penipuan 

 

Pembelian atas talian seringkali dikaitkan dengan penipuan sama ada penipuan kad kredit, barang tidak sampai, maklumat peribadi dicuri, barang palsu dan sebagainya. Malah, terdapat juga penipuan butik online Malaysia yang beroperasi melalui laman media sosial yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Bayangkan dalam keadaan rakyat Malaysia yang sedang berjimat cermat menghadapi PKP tetapi masih cuba yang terbaik untuk meraikan hari lebaran, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh.

 

 

Tiada Kemudahan Pembayaran Secara Tunai

 

Walaupun kita sudah melangkah masuk ke tahun 2020, masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kemudahan kad kredit/debit, perbankan atas talian, e-Dompet dan sebagainya. Ini menjadikan pembelian melalui platform e-bazar mustahil kerana hampir kesemua platform tersebut tidak menyediakan kemudahan pembayaran secara tunai.

Bayangkan jika pelanggan terpaksa meminta bantuan saudara mara, rakan-rakan atau jiran yang mempunyai kemudahan pembayaran atas talian untuk membuat pembelian. Ini tentunya menyusahkan pelbagai pihak yang terlibat dalam transaksi tersebut.

 

 

Tidak Boleh Mencuba Terlebih Dahulu

 

Walaupun terdapat banyak platform e-Bazar yang menawarkan pemulangan semula pakaian tetapi kebanyakkannya mengenakan syarat bahawa pemulangan semula hanya boleh dilakukan jika terdapat kecacatan pada pakaian atau kesilapan saiz. Tetapi sekiranya pelanggan tidak menyukai pakaian tersebut atas sebab citarasa peribadi, maka pemulangan semula tidak dibenarkan.

Percaya atau tidak, proses “cuba try dulu” adalah satu terapi bagi para pelanggan terutamanya wanita kerana mereka boleh melihat sendiri pakaian tersebut disarungkan pada tubuh mereka. Pelanggan merasakan diri mereka mempunyai hak dan kuasa untuk memilih sebelum membelanjakan wang hasil titik peluh mereka dan bukannya ditentukan oleh penjual.

Bayangkan jika pelanggan mempunyai alahan terhadap sesetengah jenis fabrik tetapi hanya mengetahuinya selepas mencuba pakaian tersebut dan pemulangan semula tidak ditawarkan atas alasan penjual sudah menyatakan jenis fabrik di laman jualan mereka. Maka, pelanggan tidak dapat menikmati pembelian tersebut dan hanya boleh menyimpan atau memberikan pakaian tersebut kepada orang lain.

 

Kesimpulannya, faktor-faktor di atas hanyalah sebahagian kecil daripada punca mengapa masih ramai yang takut untuk membeli-belah pakaian secara atas talian walaupun terdapat banyak tawaran jualan Aidilfitri. Untuk mengubah persepsi ini, perlu ada platform yang menangani keraguan pelanggan dan seterusnya memberikan keyakinan bahawa pelanggan telah membuat pembelian yang menguntungkan di pihak mereka. Bak kata pepatah, “alah membeli, menang memakai”.